Saturday, 21 June 2014

Dunia dan Penat




Dunia. Khabarnya seindah rupa. Warnanya dicorak pelangi. Gelaknya bersuram derita. Tawanya bernada sendu. Ilusi semata. Tempat berpijak tidaklah kekal malah merana buat yang teruja. Bukan aku yang meminggirkan diri. Bukan aku menjauh pergi. Tetapi dunia itu seolah-olah mengusir aku jauh pergi ke tepi. Aku tidak pernah menyesal. Sesekali tidak. Siapa aku untuk melawan arus dunia yang mencengkam membaluti segenap lapisan kulit dan hati? Siapa aku untuk dipandang andai harta tidak berkepuk di poket? Siapa aku untuk diangkat andai sumbangan  sebesar biji sawi? Siapa aku untuk dilihat andai tiada nama dan pangkat? Adat dunia. Adat dunia.

Penat. Sungguh aku tidak terdaya melawan arus yang mengganas. Makin diterjah, makin aku hanyut. Bukan sekadar hanyut biasa, namun hanyut luar biasa yang tiada tolok tandingnya. Lesu diratah nafsu dunia. Lenguh melihat karenah manusia. Dari aku terpekik menjerit mencarut membenci kau, baiklah aku mengundur langkah. Langkah diundur, masuk semula ke kamar gelita. Kamar gelita tanpa suria. Gelap. Pegun. Tapi cukup menenangkan.


Selamat tinggal dunia. Aku sudah terlalu penat.

Wednesday, 18 June 2014

Wanita Muda Itu

Wanita muda itu kelihatan keras dan batu.
Riak wajahnya menyimpan seribu satu rasa.
Aku tak tahu apakah ia.
Aku tak mengerti besar manakah ia.
Aku melopong membantu.
Pandang dia dalam-dalam.
Mencari-cari erti dan makna pada kau.
Sungguh, aku tak tahu.
Aku buntu.
Buntu sebuntu-buntunya.
.
.
.
Aku menggerak langkah mendepa tangan memberi ruang.
Ku beri jiwaku untuk kau ratah dan lapah.
Biar sama rasa pahit, manis, masin dan kelat.
Biar aku dan kau tahu apakah rasa yang kita bina.
Ku dakap erat susuk tubuhmu.
Erat. Seerat-eratnya.

Ku mulai dengar degup jantungmu menagih kasih,
Degup nadimu bernada sayu.
Ada sendu dalam syahdu.
Ada derita dalam dilema.

Ubun-ubunmu ku usap lembut.
Masih lagi kau kudakap erat.
Erat-erat, ketat-ketat.
Bagai tiada esok menjelma.
Bagai tiada pengkhianat melata.

Ku rasa hangatnya melekat pekat,
Pekat likat memikat hati.
Temboknya pecah mengalir alur.
Masih ada lubuk memikat.
Terlekat padat. Kuat dan kental.

Cintanya mekar, sayangnya hangat.
Aku kaget memandang kau.
Pandang bersilih-ganti
Aku dan kau adalah satu
Aku dan kau adalah sama
Hanya jalan cerita kita tidak serupa
Hanya ceritera manusia buat kita berbeza.

Tembok itu bukan untuk binasa
Sangkar itu bukan selamanya
Aku dan kau adalah serupa
Aku adalah kau.
Kau adalah aku.

Hati Bukan Mati


Hati bukan mati. Jantung masih berdegup. Nadi masih berdenyut. Tapi, terasa sepi. Bukan sepi tanpa lagu. Bukan sunyi tanpa suara. Rasa masih ada tapi rencahnya mana?


Pentas Kehidupan

Sedang aku lena dibuai mimpi atas tilam empuk bersaiz besar, dia puas beralaskan kayu papan lapis nipis bertingkat-tingkat.
Sedang aku asyik menjamah ayam panggang panas baunya sedap menusuk kalbu, dia kenyang berlaukkan bilis dan telur goreng masakan emak.
Sedang aku memilih pakaian indah paling tepat pada gaya fesyennya, dia akur meletakkan pilihan adik-adik sebagai yang terutama.
Biar dia sakit terluka, asal yang lain bahagia. Biar dia tanggung derita, asal yang lain selesa.

Palinglah pada dia, wahai aku.
Tidak malukah kau pada kekuatan dia?
Tidak tergerakkah kau pada kesabarannya?
Aku bertanya lagi dan lagi.

"Dan nikmat manakah yang tidak kamu syukuri?"

Jalan kita mungkin tidak sama, tetapi pentas kehidupan ini kita kongsi bersama. Aku pandang kau tanda hormat.
Kau kental.
Kau tabah.
Kau kuat.

Cukuplah kau mengajar aku dengan kehidupan kau.
Aku kagum.
Aku kaget.
Sungguh.



Jatuh Bangun Semula




Bengang.
Rasa macam hati dicampak ke tanah.

Jatuh berderai. Pecah kemek sedikit.

Tak mengapa. Cuba lagi. 
Jatuh bangun semula. 

Tak mengapa.