Saturday, 21 June 2014

Dunia dan Penat




Dunia. Khabarnya seindah rupa. Warnanya dicorak pelangi. Gelaknya bersuram derita. Tawanya bernada sendu. Ilusi semata. Tempat berpijak tidaklah kekal malah merana buat yang teruja. Bukan aku yang meminggirkan diri. Bukan aku menjauh pergi. Tetapi dunia itu seolah-olah mengusir aku jauh pergi ke tepi. Aku tidak pernah menyesal. Sesekali tidak. Siapa aku untuk melawan arus dunia yang mencengkam membaluti segenap lapisan kulit dan hati? Siapa aku untuk dipandang andai harta tidak berkepuk di poket? Siapa aku untuk diangkat andai sumbangan  sebesar biji sawi? Siapa aku untuk dilihat andai tiada nama dan pangkat? Adat dunia. Adat dunia.

Penat. Sungguh aku tidak terdaya melawan arus yang mengganas. Makin diterjah, makin aku hanyut. Bukan sekadar hanyut biasa, namun hanyut luar biasa yang tiada tolok tandingnya. Lesu diratah nafsu dunia. Lenguh melihat karenah manusia. Dari aku terpekik menjerit mencarut membenci kau, baiklah aku mengundur langkah. Langkah diundur, masuk semula ke kamar gelita. Kamar gelita tanpa suria. Gelap. Pegun. Tapi cukup menenangkan.


Selamat tinggal dunia. Aku sudah terlalu penat.

Wednesday, 18 June 2014

Wanita Muda Itu

Wanita muda itu kelihatan keras dan batu.
Riak wajahnya menyimpan seribu satu rasa.
Aku tak tahu apakah ia.
Aku tak mengerti besar manakah ia.
Aku melopong membantu.
Pandang dia dalam-dalam.
Mencari-cari erti dan makna pada kau.
Sungguh, aku tak tahu.
Aku buntu.
Buntu sebuntu-buntunya.
.
.
.
Aku menggerak langkah mendepa tangan memberi ruang.
Ku beri jiwaku untuk kau ratah dan lapah.
Biar sama rasa pahit, manis, masin dan kelat.
Biar aku dan kau tahu apakah rasa yang kita bina.
Ku dakap erat susuk tubuhmu.
Erat. Seerat-eratnya.

Ku mulai dengar degup jantungmu menagih kasih,
Degup nadimu bernada sayu.
Ada sendu dalam syahdu.
Ada derita dalam dilema.

Ubun-ubunmu ku usap lembut.
Masih lagi kau kudakap erat.
Erat-erat, ketat-ketat.
Bagai tiada esok menjelma.
Bagai tiada pengkhianat melata.

Ku rasa hangatnya melekat pekat,
Pekat likat memikat hati.
Temboknya pecah mengalir alur.
Masih ada lubuk memikat.
Terlekat padat. Kuat dan kental.

Cintanya mekar, sayangnya hangat.
Aku kaget memandang kau.
Pandang bersilih-ganti
Aku dan kau adalah satu
Aku dan kau adalah sama
Hanya jalan cerita kita tidak serupa
Hanya ceritera manusia buat kita berbeza.

Tembok itu bukan untuk binasa
Sangkar itu bukan selamanya
Aku dan kau adalah serupa
Aku adalah kau.
Kau adalah aku.

Hati Bukan Mati


Hati bukan mati. Jantung masih berdegup. Nadi masih berdenyut. Tapi, terasa sepi. Bukan sepi tanpa lagu. Bukan sunyi tanpa suara. Rasa masih ada tapi rencahnya mana?


Pentas Kehidupan

Sedang aku lena dibuai mimpi atas tilam empuk bersaiz besar, dia puas beralaskan kayu papan lapis nipis bertingkat-tingkat.
Sedang aku asyik menjamah ayam panggang panas baunya sedap menusuk kalbu, dia kenyang berlaukkan bilis dan telur goreng masakan emak.
Sedang aku memilih pakaian indah paling tepat pada gaya fesyennya, dia akur meletakkan pilihan adik-adik sebagai yang terutama.
Biar dia sakit terluka, asal yang lain bahagia. Biar dia tanggung derita, asal yang lain selesa.

Palinglah pada dia, wahai aku.
Tidak malukah kau pada kekuatan dia?
Tidak tergerakkah kau pada kesabarannya?
Aku bertanya lagi dan lagi.

"Dan nikmat manakah yang tidak kamu syukuri?"

Jalan kita mungkin tidak sama, tetapi pentas kehidupan ini kita kongsi bersama. Aku pandang kau tanda hormat.
Kau kental.
Kau tabah.
Kau kuat.

Cukuplah kau mengajar aku dengan kehidupan kau.
Aku kagum.
Aku kaget.
Sungguh.



Jatuh Bangun Semula




Bengang.
Rasa macam hati dicampak ke tanah.

Jatuh berderai. Pecah kemek sedikit.

Tak mengapa. Cuba lagi. 
Jatuh bangun semula. 

Tak mengapa.

Saturday, 31 May 2014

Mencari


Mencari.
Tak pernah henti.
Rebah tak pernah lelah.

Mencari jalan menggapai impian.
Impian masih sama.
Harapan tetap satu.

Tetapi,
Masa memutar waktu,
Waktu mengubah aku
Aku tidak lagi berlari mendabik dada 
Aku tidak lagi memapar bicara 
Aku mahu berenang tenang
Melawan arus dalam diam
Menuntun diri dalam senyap

Kerana aku
Tak pernah henti
Mencari


Terperangkap


Terperangkap
Tertimbus dalam jiwa sendiri.
Nampak tapi tidak dapat melihat.

Sukar mendefinikan bahasa rasa.
Susah menterjemah apa di dada
Aku hanya tahu satu.
Terperangkap.




Sunday, 20 April 2014

Tanpa jiwa

Berjalan jauh
Berlari-lari pantas
Berenang ke tepi serong
Hanya gerakan lawan statik
Biasa-biasa pada rasa tidak mengena
Kosong di mata kasar yang tidak berjiwa

Thursday, 17 April 2014

Doa




Diksi-diksi tersusun rapi
Berdiri tepi ke tepi
Memacak diri
Membentuk seni
Seni hati
Meminta jati

Tuesday, 25 March 2014

MH370


Kau membelah awan sunyi tanpa rasa gentar tingginya langit biru,
tanpa rasa gelisah pergi meninggalkan cinta hati atau
rasa bahagia dijiwa bakal bertemu permata hati di hujung sana.
Hari dirasakan biasa, tiada yang menduga malang bakal menimpa.

8 Mac 2014.
Kau tiba-tiba lesap dari pandangan zahir mata yang terbatas.
Kami terkaget diam dan buntu. 
Tanah air terkejut tidak sangka.
 Dunia gelisah dan gundah gulana. 
Teori demi teori datang menyapa. 
Dada akhbar memanggil namamu. 
Laman sesawang tidak putus-putus menyebut tentangmu.

MH370.
Kau di mana? Di daratkah kau? Di lautkah kau? Di langitkah kau? Mengapa diam seribu bahasa? Tangan ditadah siang dan malam, sayu di jiwa, merengek bagai si anak kecil meminta Yang Maha Esa menemukan kau dengan kami,
Harapan demi harapan makin menggunung saban hari. Air mata kekeringan kontang. Ibu sudah mula belajar redha. Anak sudah mula menggalas tabah.


17 hari kemudian,
"it is therefore with deep sadness and regret that I must inform you that according to this new data, flight MH370 ended in the southern Indian Ocean"

Semua jadi kaku. Semua jadi batu. Tidak tahu arah tuju.
Sendi mulai longgar, terasa bagai skru tercabut dari tempat, menunggu robohnya diri.
Namun, hati makin tega, makin kuat,
Faham dan faham
Hikmah terbaik
MH370
Allah yang punya.

Sunday, 16 March 2014

Oh bulan!

Mampukah aku menanti?
Mampukah aku menunggu?
Bulan! Bulan! Bulan!
Bilakah kamu mahu jatuh ke ribaku?
Aku menantimu datang kepadaku!

Aku memerhati keindahanmu saban hari
Menantimu menghampiriku
Namun,
Mengapa kamu masih di langit malam?
Mengapa kamu masih berdiam tiada jawapan?
Adakah kamu tidak sudi datang kepadaku?
Atau,
Aku yang terlebih menantimu

Oh bulan!
Air mata penat mengalir
Kerana aku tidak pasti
Apa maksudmu. Apa niatmu.
Berilah jawapanmu kepadaku
Perlukah aku menantimu?

Tuesday, 11 March 2014

Suku kata Ah

Aku kehilangan madah
Bahasaku patah dan pecah
Hilang dirempuh badai yang meredah

Ah!!!
Aku bukan marah
Aku bukan parah
Aku bukan Farah
Aku bukan Sarah


Cuma aku kehilangan madah.

Sunday, 19 January 2014

Dengki


Pandang kiri
Pandang kanan
Pandang atas
Pandang bawah
Indah sungguh
Bagai si hebat mendapat nama
Bagai si ratu mendapat pujian

Berjalan perlahan-lahan
Mengambil cermin muka
Menatap segenap wajah
Memerhati susuk tubuh
Pandang lama-lama
Kenapa lain?
Kenapa berbeza?
Kenapa tak sama?
Kenapa tiada apa yang mereka ada?
Kenapa tidak sehebat mereka?
Kenapa tidak semegah mereka?
Kenapa? Kenapa? Kenapa?

Menggelabah. Jiwa tak muhasabah.
Mahu. Apa yang tidak perlu.
Perlu. Apa yang bukan milikmu.
Untuk apa?
Untuk apa?
Untuk apa?
Ketuk pintu jiwa.
Bukan pintu rasa.