Wednesday, 18 July 2012

Goncangan realiti


Siapa dikedudukan yang hina ini untuk menyalahkan takdir, wahai diri? Andai usaha berbakul-bakul rasa tidak dipandang, jangan pernah tunding jari, jangan pernah berpaling. Ini hadiah tidak ternilai daripada Pencipta. Dia sedang membentuk diri, bukan itukah yang dipinta saban hari?  Tidakkah diri tahu Dia berfirman

"Takkan dikatakan beriman seseorang itu jika tidak pernah diuji?".

Apa lagi yang perlu dipersalahkan. Bukalah mata seluas-luasnya wahai diri. Sedang cabaran ringan pun tidak mampu dipikul, apatah lagi yang tidak tertahan dek bahu menggalas. Jangan dengar bisikan halus untuk salahkan Dia. Si licik itu memang petah memanipulasikan diri. Bukankah diri pernah berkata mahu jadi insan redha, mahu jadi manusia ikhlas?

Mana janji yang terbit dari hati, terlafaz di bibir? Diri goyah tatkala berdepan cubaan?
Jangan jadi lemah.
Jangan jadi rapuh.
Jangan mudah terpedaya.
Jangan,jangan, jangan.

Bukan diri yang berada di medan perang merobek jantung musuh yang nyata. Bukan diri yang berhadapan kematian insan tercinta. Bangkit!