Friday, 22 June 2012

Kematian

     Mainan hidup berdetik lagi. Dia datang pada gelap semalam. Aku tak pasti. Sebelum lampu benar-benar terpadam atau selepas nyalaan lampu kembali. Tapi, detik semalam bagai bukan fantasi, realiti.

     Aku bertarung nyawa. Aku berada di antara alam dunia dan alam barzakh. Orang ramai kuat kedengaran di bibir mereka bacaan memuji keagungan Nya. Aku terbaring. Hati berdegup tapi rasa tenang. Aku nampak bayangan yang ku tak pasti bagaimana rupanya. Dia bayang-bayang. Dia datang. Aku takut. Rasa berpeluh-peluh. Siapa yang datang? 

     Orang ramai masih kuat membaca memuji Pencipta alam sedang aku dalam ketakutan. Sumpah. Dia yang tidak kukenal datang menghampiriku dari hadapan. Kelibatannya berwarna hitam, tapi bukan hitam gelap, kelabu mungkin. Aku kurang pasti. Aku cuak. Mahu kulari, tapi badanku tidak boleh berganjak walau seinci. Aku ketakutan. Peluh menitik-nitik dari dahi turun ke pipi. Jantung berdegup bukan sekali  denyutan pada satu masa, lebih sekali mungkin. Mataku umpama mahu terkeluar dari rangkanya.

   Dia datang lagi dekat menghampiriku. Tatkala tangannya menghala dari atas kepalaku menghala ke kaki tanpa sebarang sentuhan, aku dapat rasakan sesuatu keluar dari tubuhku mengikuti dia. Serentak dengan itu, jasadku tak lagi berfungsi. Jantung sudah berhenti berdenyut. Mata sudah terkatup, ada sebuah senyuman terukir di bibir. Rasa tenang. Rasa bahagia. 

    Aku tidak tahu apa yang dia tarik keluar dari tubuhku. Tapi, rasanya tidak sakit langsung. Rasanya sungguh bahagia. Aku berjalan mundar-mandir memerhati jasadku yang dikelilingi orang ramai yang tidak henti-henti membaca tulisan Arab itu, sedang dia berada memerhatikan aku. Aku fikir dia sedang menantiku. Entah ke mana dia ingin membawaku.
.
.
.
    Di tengah keheningan malam itu, aku tersentap. Aku ingat sememangnya aku sudah tiada di muka bumi ini. Beristighfarlah. Tangan ditarik ke dada. Jantung masih meneruskan tari rentak yang sama. Aku masih bernyawa!


No comments:

Post a Comment