Monday, 21 May 2012

Tasbih masa


Dalam cahaya samar-samar kau meraba lantai yang kurang rata itu beberapa kali, mencari-cari tasbih masa semalam. Aku tahu, kau masih belum sempat perhati warna butiran-butiran manik yang diikat kemas itu. Tika minda galak berfikir, menconggak dan menduga mana pergi tasbih itu, jari menangkap butiran manik yang tersorok di balik tikar mengkuang yang sudah hampir lusuh rupa, sudah hampir pudar warna.

Lampu kalimantang panjang dinyala, tanda cahaya realiti diperlukan. Kusangka manik-manik tasbih masa pasti memancarkan kilauan sehebat sang intan berlian di bawah sinar terang.

Silap, kau silap.

Sangkaan kau sungguh tak benar. Harapan tasbih masa itu berkilau, hanya harapan semata. Tenung dalam-dalam. Aku ulang, tenung dalam-dalam. Lihat butiran manik tasbih. 

Manik-manik apa yang kau pilih?
Kualiti apa yang kau katakan?
Sedar ya, sila sedar.

Kau belum bijak untuk pilih manik cantik, halus mutunya dan elok rupa luaran dan dalaman. Kau ikut hati bukan? kau cantum sahaja manik kecil, besar, putih, hitam asal jadi tasbih, cukuplah.

Sudahlah, jangan kau nafikan. Aku nampak dengan mata kepala sendiri. Tak perlu pura-pura naiflah.

 Muak tahu?

Ps: Masa itu emas.
  

Monday, 7 May 2012

Badai rindu



Badai rindu datang menyapa
Meranap runtuh segenap ruang
Ruang nyata ruang maya
Sampai tinggal tanah lapang
Padang jarak padang tekukur
Perlu diisi perlu diisi
Dengan kamu, kamu, kamu dan kamu
Aku dilanda badai rindu!!

PS: Before final exam, kena balik rumah.

Pelukis jalanan itu


      Pelukis jalanan itu, matanya disepet kecil, menghalusi hasil seni yang sedang diusahakan tangannya sambil bola matanya bergilir-gilir antara potret contoh dalam genggaman kirinya. Dia khusyuk tetapi sesekali mencuri pandang pada dua gadis yang sedang tadi tidak berkelip dek teruja memerhatikan dia disebalik kaca lutsinar.

         Biarpun suasana pekat malam dihiasi lampu neon di mana-mana, musik kuat penari gedik, umpama syurga dunia yang dipenuhi pelbagai ragam manusia, dia tetap tegar dan kental, tidak mungkin rapuh. Walau susuk tubuh perempuan jadian yang mundar-mandir dihadapannya bagai telanjang dibalut kain nipis, dia tidak sesekali merasa gersang mahu menjamah mereka. Jauh sekali mahu menjadi kucing menerkam ikan di hadapan mata. Dia jelik dan merasa loya. Tapi, dia pura-pura tidak endah. Sesekali dia menempelak perilaku perempuan jadian yang sesuka hati merangkul leher mana-mana jantan keparat yang lalu di hadapan mereka. Dia mual melihat perilaku mereka yang tidak pernah kenal erti malu. Apa tidaknya, sudah dicampak kemaluan asal, diganti dengan kemaluan plastik. Jadi, apa perlu malu lagi?
          
          Aku tahu imannya kental. Saban hari, tangan ditadah memohon sepotong hajat agar tidak tercucuk jarum halus dunia. Sedang asyik dilamun cinta pada kanvas, dia tersentap tatkala sesusuk wanita tua yang kurang siuman itu datang. Hadirnya tanpa diundang, mengharu-birukan suasana tenang. Suaranya dijerit, tangan dihayun, konon-konon hebat untuk melanyak penyanyi yang dari asyik menghiburkan hati. Penyanyi bengang dan rasa darah muda mula menggelegak. Syaitan sedang galak berbisik jahat. Tapi, api amarahnya segera dijirus dengan air sabar. Kaki dihayun pada pondok telefon sebagai pengganti wanita separuh abad.

           Sedih dan sayu hati pelukis. Mungkin sahaja wanita separuh abad usianya itu gadis genit dambaan buaya darat pada pucuk usianya. Namun, semua itu hanya kenangan yang bukan dapat menjadi pemberat amal kebajikan. Melihat pada dirinya yang sedang berangan menyisir rambut di hadapan pemantul diri dan pakaian yang disingkatkan pada bahagian peha yang sudah kendur menguatkan lagi rasa percaya pada kegemilangan hidup dia di waktu muda. Sayang, sekarang dia hanya wanita tua yang kusut-masai dan serabai. Tiada lelaki mahu dijadikan suami apatah lagi anak pembela diri.

              Pelukis jalanan segera mara ke hadapan meleraikan kekusutan yang belum habis terlerai. Bukan wira yang menjadi impian, tapi biarlah ketenteraman hidup menjadi dambaan. Dia kembali ke kerusi pendek, meneruskan tari jemari setelah atmosfera kembali tenang. Pelukis jalanan, kau kuat dan kental. Aku tabik hormat, sungguh. Begitulah helaian dalam kamus kehidupan pelukis jalanan. Dia pandang jauh-jauh ke sudut jalan yang tidak bersegi. Apakah nasib bangsaku? 

Hatinya hiba, tapi apakan daya, dia hanya
pelukis jalanan.