Wednesday, 9 November 2011

Wanita

Bagiku menjadi wanita sangat istimewa. Melengkapkan rongga-rongga dunia dan syurga.Fikiran melayang mengimbau lembaran sejarah kehebatan wanita.

Datuk moyangku, Adam A.S., sudah begitu hebat berada dalam ayunan enak syurga yang sarat dengan nikmat yang tidak terungkap dengan kata-kata. Namun, masih ada kekosongan pada relung sanubarinya yang nyata. Dia merindui seseorang. Walau dihamparkan dengan lautan keenakan yang tiada tandingannya, dia masih berasa tidak sempurna sehingga diciptakan sesuatu daripada tulang rusuk kirinya, Hawa seorang wanita.

Begitu hebatnya wanita sehingga ada yang menggelar tangan lembut yang menghayun buaian umpama bidadari yang berjalan di atas muka bumi. Betapa indahnya wanita.

Wanita bagaimana yang aku mahu jadi? Itu persoalannya.

Aku mahu jadi

wanita yang mampu berdikari ketika cabaran datang bertimpa-timpa. Benar, juraian air mata peneman setia menempuh jalan yang berliku. Namun, kirimkan salam kekuatan agar kaki tetap tabah dan cekal mengharungi segalanya.

wanita yang tahu sekurang-kurangnya asas masakan dan jahitan. Aku rasa tidak lengkap menjadi wanita tanpa dua asas penting ini. Sebab itu, masa yang berjalan kini aku rasa begitu pantas, sehingga kadang-kadang aku takut aku tidak berjaya menguasai keduanya. Akulah wanita yang paling bahagia di atas muka bumi ini andai suatu hari nanti aku mampu menyediakan makan, minum, pakaian keluargaku kelak.

wanita yang memiliki suara lembut ketika mengalunkan qasidah cinta memuji Tuhan Pencipta alam dan asyik mendodoikan bayi dalam buaian sehingga mampu meruntunkan hati yang keras membeku, melahirkan sebak untuk sujud kepada Nya.

Siapalah aku untuk menjadi sempurna. Hanya berpandukan impian, aku mampu bergerak. Aku umpama peneroka dengan kompas dan peta mencari jalan keluar dalam ketebalan hutan yang menghijau.

Kutitipkan harapan ini untuk semua yang bergelar wanita.
Amin.

2 comments: