Wednesday, 16 November 2011

Deep in my heart

Dear Allah,
Please conceal my feeling and don't make it obvious.
Please slow down the beats
Please lesser the thoughts
Please
Please and please..
I beg You.

Sunday, 13 November 2011

Kecewa yang bermakna

Selepas itu, aku berazam untuk tutup pintu rapat-rapat dan sendal pintu besar menggunakan batu-bata. Akan kususun batu-bata tinggi-tinggi. Jangan risau, ruang-ruang kosong akan kututup menggunakan renyukan kertas putih biar tak tersingkap sebarang cahaya daripada teratak ini. Akan kubuka pintu teratak ini jika insan yang ketuk pintu itu datang pada waktu yang sesuai. Mula-mula api kemarahan memang wujud, membuak-buak macam boleh jilat semua benda depan mata. 


Tapi, rasionalnya tetap kunjung tiba selepas itu dan aku fikir ini jalan terbaik.


Oh, sudah lambat rupanya. Jangan buang masa lagi. Bangkit dari lamunan panjang.

Thursday, 10 November 2011

Dialog hati dan jiwa

Jiwa: Makin dipendam rasa, makin suka. Hidup tenang, tapi entah. Ada sesuatu yang sukar ditafsirkan.

Hati: Sabarlah. Kalau sudah itu ditulis menjadi jodoh, memang akan tiba satu hari yang pasti. Tak perlu lagi     melangkah jauh-jauh. 

Jiwa: Tapi, kalau dibiarkan, bagaimana kalau dia menjadi milik yang lain? Bagaimana kalau hatinya terpaut pada yang lain?

Hati: Maksudnya, mungkin dia bukan untuk kau atau mungkin juga suatu hari nanti dia pasti menjadi milik kau. Kau tidak tahu masa depan, bukan?

Jiwa: Benar. Tapi, ...

Hati: Tak perlu tapi, tapi lagi. "When you like someone, it doesn't mean you must be in a relationship. " Bear in mind, Allah knows what is the best. TakdirNya itu indah dan kau perlu tahu. Perlu faham.

Jiwa: Betul. Teruskan bersabar dan bertahan. Hanya untuk beberapa tahun sahaja. 

 Perbualan tamat... 

Wednesday, 9 November 2011

Wanita

Bagiku menjadi wanita sangat istimewa. Melengkapkan rongga-rongga dunia dan syurga.Fikiran melayang mengimbau lembaran sejarah kehebatan wanita.

Datuk moyangku, Adam A.S., sudah begitu hebat berada dalam ayunan enak syurga yang sarat dengan nikmat yang tidak terungkap dengan kata-kata. Namun, masih ada kekosongan pada relung sanubarinya yang nyata. Dia merindui seseorang. Walau dihamparkan dengan lautan keenakan yang tiada tandingannya, dia masih berasa tidak sempurna sehingga diciptakan sesuatu daripada tulang rusuk kirinya, Hawa seorang wanita.

Begitu hebatnya wanita sehingga ada yang menggelar tangan lembut yang menghayun buaian umpama bidadari yang berjalan di atas muka bumi. Betapa indahnya wanita.

Wanita bagaimana yang aku mahu jadi? Itu persoalannya.

Aku mahu jadi

wanita yang mampu berdikari ketika cabaran datang bertimpa-timpa. Benar, juraian air mata peneman setia menempuh jalan yang berliku. Namun, kirimkan salam kekuatan agar kaki tetap tabah dan cekal mengharungi segalanya.

wanita yang tahu sekurang-kurangnya asas masakan dan jahitan. Aku rasa tidak lengkap menjadi wanita tanpa dua asas penting ini. Sebab itu, masa yang berjalan kini aku rasa begitu pantas, sehingga kadang-kadang aku takut aku tidak berjaya menguasai keduanya. Akulah wanita yang paling bahagia di atas muka bumi ini andai suatu hari nanti aku mampu menyediakan makan, minum, pakaian keluargaku kelak.

wanita yang memiliki suara lembut ketika mengalunkan qasidah cinta memuji Tuhan Pencipta alam dan asyik mendodoikan bayi dalam buaian sehingga mampu meruntunkan hati yang keras membeku, melahirkan sebak untuk sujud kepada Nya.

Siapalah aku untuk menjadi sempurna. Hanya berpandukan impian, aku mampu bergerak. Aku umpama peneroka dengan kompas dan peta mencari jalan keluar dalam ketebalan hutan yang menghijau.

Kutitipkan harapan ini untuk semua yang bergelar wanita.
Amin.

Tuesday, 8 November 2011

Bukan mudah

Hidup tidak senang untuk dijalani, itu yang pasti. Kadang-kadang kita merintih kepiluan mengenangkan nasib ataupun tika minda beredar melawan arus hari ini, mengutip memori duka dan luka semalam.

Kadang-kadang rasa menyesal dengan peristiwa semalam.

Tapi, kenapa mahu menyesal? Jika tiada hujan sepanjang terik mentari, tentu kemarau sepanjang tahun. Bangkit dan terus bangkit. Kata-kata yang mudah disemburkan tapi berapa ramai yang mampu? Bahkan, mahu menggapai impian hari esokpun, aku tak pasti aku mampu atau tidak. Nasib baik, masih ada senjata perisai mukmin, Doa. Doa sahajalah mampu buat aku berpaut dari memegang ranting-ranting kayu yang halus kemudian mengenjak ke dahan-dahan yang lebih besar pelukannya. Sudah, mari bangkit dan terus mara ke petak hadapan. Berjuanglah. 

Sunday, 6 November 2011

Nak jadi cantik

Cantik. 

Tajuk yang sudah lama diperkatakan, mungkin sudah hampir muak setiap telinga yang mendengarnya. Tapi, tak mengapa. Aku juga mahu melakar kata di sini.

Sumpah, aku nak jadi cantik.
Cantik pada akhlak, tutur kata, perbuatan, adab. Siapa yang tak mahu? Aku mahu cantik pada akhlak, bukan untuk menyenangkan sahabat-sahabat di sekelilingku, bukan untuk memancing lelaki melahirkan rasa padaku, bukan untuk mempesonakan makcik-makcik sekeliling rumah, tapi aku mahu cantik kerana Tuhanku. Aku mahu cantik peribadi kerana aku masih  belum layak digelar hamba Nya. Aku hanya insan yang entah Dia pandang atau tidak.


Mungkin manusia berkata bunga mawar itu cantik kerana warna merah mekarnya. Mungkin. Tapi, aku rasa harrumannya yang semerbak itulah yang menjadikan dia cantik dan ingin dimiliki. Entah. Hanya sekadar pendapat.

Ya Allah, perindahkanlah akhlakku sebagaimana Engkau menyempurnakan kejadianku. Ameen.

Persinggahan

Aku akan melangkah pergi bila tiba masa yang pasti. Doa dan harapan yang kubawa bersama takkan ku patah balik. Sungguh. Tapi, bukan sekarang. Sekarang, hanya duduk diam-diam di ceruk belah kanan (aku harap-harap) sebagai pemerhati bukan pengacau. Doa dan terus berharap. Itu sahaja titik tengah, tiada pertemuan atau perpisahan. Seram bunyinya, bukan? Tapi, jangan risau, tiada apa-apa yang bakal terjadi. Aku tahu batas-batasnya.

Salam Aidiladha.