Sunday, 25 September 2011

Penyesalan

Pandanganku pada sepasang burung yang sedang asyik berkicau-kicauan sejak tadi menggamit perasaanku. Sedikitpun aku tidak berkelip atau berganjak dari jendela bilikku. Aku terpesona, terpana, terkesima dengan keindahan panorama yang selama ini tidak pernah kusedari.

Semakin kurenung pada titik fokus itu, semakin jelas satu per satu gambaran memori silih berganti. Aku sedih, pedih dan termangu seketika. Perit untuk diungkap, sakit untuk dikhabarkan hanya linangan juraian air mata pengganti bicara. 

Benar, Dia tidak pernah membenarkan aku melupakan Dia. Andai aku terleka, cepat-cepat sahaja peristiwa menyusul petanda mahu aku kembali kepada-Nya.

Apa lagi yang perlu kupinta. Sudah terang lagi bersuluh bahawa Kau Maha Penyayang, Ya Karim. Ketahuilah, maluku setebal tiada perumpamaan yang mampu diungkapkan apabila tangan memohon doa, dek terasa hina dan dina. Aku umpama hamba yang menumpahkan minyak hitam pekat dan sukar ditanggalkan kesannya di tengah rumah Tuanku. Namun, Tuanku masih mengukir senyum, menyediakan kelengkapanku dan masih menjagaku. 

Siapalah aku untuk terus menjauh daripada Dia. Bantulah aku untuk terus sujud menyintai Dia sedang insan lain lena diulit mimpi yang sementara.

Ini bukan mudah, tetapi tidak mustahil.
Teruskan mengigati-Nya dalam lena dan sedar.

Dia Maha Mendengar lagi Maha Penyayang. 

No comments:

Post a Comment