Sunday, 25 September 2011

Penyesalan

Pandanganku pada sepasang burung yang sedang asyik berkicau-kicauan sejak tadi menggamit perasaanku. Sedikitpun aku tidak berkelip atau berganjak dari jendela bilikku. Aku terpesona, terpana, terkesima dengan keindahan panorama yang selama ini tidak pernah kusedari.

Semakin kurenung pada titik fokus itu, semakin jelas satu per satu gambaran memori silih berganti. Aku sedih, pedih dan termangu seketika. Perit untuk diungkap, sakit untuk dikhabarkan hanya linangan juraian air mata pengganti bicara. 

Benar, Dia tidak pernah membenarkan aku melupakan Dia. Andai aku terleka, cepat-cepat sahaja peristiwa menyusul petanda mahu aku kembali kepada-Nya.

Apa lagi yang perlu kupinta. Sudah terang lagi bersuluh bahawa Kau Maha Penyayang, Ya Karim. Ketahuilah, maluku setebal tiada perumpamaan yang mampu diungkapkan apabila tangan memohon doa, dek terasa hina dan dina. Aku umpama hamba yang menumpahkan minyak hitam pekat dan sukar ditanggalkan kesannya di tengah rumah Tuanku. Namun, Tuanku masih mengukir senyum, menyediakan kelengkapanku dan masih menjagaku. 

Siapalah aku untuk terus menjauh daripada Dia. Bantulah aku untuk terus sujud menyintai Dia sedang insan lain lena diulit mimpi yang sementara.

Ini bukan mudah, tetapi tidak mustahil.
Teruskan mengigati-Nya dalam lena dan sedar.

Dia Maha Mendengar lagi Maha Penyayang. 

Tuesday, 20 September 2011

Pemilik tulang rusuk itu

Aku melangkah ke sana ke mari tanpa hala tuju mencari seseorang. Siapa yang kucari? Aku sendiri tidak pasti. Percayalah,walau siapapun yang kucari, aku tidak mahu kamu hadir saat ini, tika ini. Percayalah dan fahamilah bahawa aku belum bersedia, langsung tidak bersedia. Aku rela melihat kamu mengukir senyum tawa dengan riang sedang aku sedang berselindung di celah-celah batang pokok sebesar pelukanku, memerhatikanmu dari jauh. Ini jalan yang terbaik. Tidak perlu aku bercerita tentang kisah hatiku padamu. 

Untuk apa?

Aku bukan mahu kamu menjadi kekasihku. Aku mahu kau menjadi temanku yang sah satu hari nanti, jujur kukatakan.Biar aku puas menolak bayanganmu beribu batu jauhnya, namun wajahmu tetap memenuhi ruang pemikiranku.

 Beristighfarlah, wahai hati.
Jangan kau biar fikiranmu melayang jauh. Berdoalah pada Rabb mu. Jika dia untukku, aku pasti, dialah yang terbaik buatku. Andai dia bukan untukku, berdoalah untuk kebahagiannya di dunia dan akhirat.

Dan, kamu.....
bersabarlah. Jangan diucap kata-kata manis semanis gula atau sehalus baldu andai kau belum benar-benar bersedia memikul tanggungjawab itu.

Percayalah, sebuah kebahagiaan itu bermula daripada ikatan yang diredai.

Maaf, aku pernah memberi hatiku pada orang yang salah, itu silapku. Maafkan aku. Biar bertahun menanti, kesabaran itu pasti diberkati. Teruskan berdoa dan jangan pernah berhenti.

Aku perlu belajar sabar dan reda.



Wednesday, 7 September 2011

Reverse psychology

Memang seratus dua puluh peratus tepat panahan busur pemikirannya di atas papan itu.
Dia tahu selok-belok cara terbaik untuk menjinakkan kau. Kau bukan orang berhati batu tetapi kau punya hati selembut kapas yang mampu menyerap air semaksima mungkin.

Dia akan mengkhabarkan penyesalan dan kemaafan.

Itu sudah pasti.
Kau akan terkesima, terjelopok sebentar, berfikir panjang-panjang.

Ayuh, bangkitlah. Belek kembali buku ilmiah Psychology tajuk  Reverse psychology. Kaji dalam-dalam, bukan menghafal semata. Bukan dikatakan cemerlang seseorang itu kalau hanya mahir teori tetapi praktikalnya gagal. Gunakan kuasa aura sejatimu untuk menang.

Aku tidak tahu kosa kata Reverse Psychology dalam bahasa ibundaku. Bukan niat di hati untuk merogol bahasa. Ampun maaf dipinta.

Pemimpin (sesetengahnya, bukan semua) dan pengikut-pengikut

Otak kembali bersuara meminta agar tangan memuntahkan tulisan. Baik, jari menurut kata.

Persepsi mereka dan aku

Siapa dia? Ya, gadis berkerudung pudar di sana. Kecil, tapi bersuara lantang. Aku lihat dia bersemangat waja melontarkan buah fikiran. Ada yang kata, dia sombong dan bongkak.
Entah, aku pun tak tahu. Aku tetap dengan pendirianku. Dia gadis bersemangat waja, suara memecah dewan, memukau mata memandang dengan hujah bernas umpama bertih jagung .

.
.
.
.

Persepsi gadis berkerudung pudar

Aku bangga kamu semua tertawan pada hujah yang tidak kutahu benar atau tidak. Aku ratu yang bijak memanipulasikan kamu semua hingga kata-kataku dianggap bagai sesuap nasi yang ditadah oleh kamu semua. Tanpa aku, kamu semua mati dan binasa. Ha Ha Ha. Manusia, manusia. Mengapa kamu semua tidak bijak? Konon-konon akal itu aset terbaik yang kamu punya. Lihat? Kamu hanya mengangguk-angguk sahaja. Bodoh.

Mana hujah daripada kamu semua?
Mengapa kamu semua akur padaku?
Kamu semua pengecut tegar bukan?

Kamu memilih untuk mengetuk tin buruk di belakangku. Ingat aku tidak tahu? Jangan cuba sebarangan, aku sedang menunggu gerak terbaik untuk memanah anda semua. Hahaha.




Begitulah ragam manusia yang konon-kononnya mendewa-dewakan pemimpin di hadapan mereka. Sajian kata-kata enak menjadi santapan buat mereka. Namun, cuba kamu lihat di dapur penyediaan sajian itu. Anai-anai, bangkai busuk bersepahan di merata tempat persis tempat pelupusan sampah.
Sudah-sudahlah. Berhenti sahaja lakonan di pentas kehidupan. Kebenaran yang busuk lebih enak berbanding dusta yang enak mewangi.







Monday, 5 September 2011

Padah makan cili

“Itulah, kan mak dah pesan”. Kau bukan gemarkan pedas tapi kenapa kau makan juga cili tu?
Aku membisu, hanya berperang mulut dalam hati. Diam. Diam semua. Diam, biar betul-betul diam. Aku suka warna cili, itu yang sangat pasti. Mengapa aku suka cili? Cili merah berkilat tanda berani. Berani menghadapi apa juga cabaran. Saiznya yang kecil tanda cili itu cilik.

Aku tak peduli apa rasa cili tersebut asalkan aku dapat rasa dahulu. Biar nenek tua yang tiada gigi hadapan beritahu cili itu pedas macam nak pengsan kalau tak dapat tahan. Otak boleh berdenyut-denyut, mata berpinar-pinar dek panahan sang cili. Siapa peduli kata nenek yang umurnya kukira rumah sudah kata pergi, kubur sudah panggil melambai-lambai.  Sudah bengkak bibir muncung sepanjang sedepa baru menangis tak keruan dek tak tahan pedas cili.

Nenek buat tak layan sambil bersiul girang. Aku tahu. Nenek gembira sebab aku bebal dan kepala konkrit.  Nenek cakap hanya aku yang perasan kepalaku keras umpama keluli besi pembina tiang KLCC padahal rapuh umpama buah tembikai berkulit hijau muda.
Minta maaf, mak.
 Ingat, cili kecil tak rasa pedas.
Ingat ada cili rasa manis dan segar, sesegar warna merah cili yang terang benderang.

Mak senyum sinis. Dia biarkan aku berendam dalam air mata. Bukan dia tak sayang, tapi manusia, biasa, sudah kena baru menyesal. Mak tidak menghulurkan  aku walau setitis air masak. Dia mahu aku sendiri ke dapur, menuang air tersebut. Dia mahu aku berusaha menghilangkan pedas yang aku sendiri makan.

Terima kasih cili. 
Kalau aku tak penah rasa kau, sudah pasti aku ingat kau manis.


PS: Metafora kehidupan yang terlalu indah untuk dipersembahkan  tetapi aku taksub dan takjub, bak kata orang syok giler untuk bercerita menerusi pena lakaran tak berdakwat.

Saya peminat setia Zahiril Adzim. J

Sunday, 4 September 2011

U-Turn

Penat. Perjalanan menuju Tuhan dikhabarkan tidak lama sepanjang dunia akhirat yang di sana. Tapi, kenapa fizikal dan mental sudah hampir mahu membeku umpama bongkahan ais di Kutub Utara dan Selatan tanpa kilauan cahaya Sang Mentari?

Mungkin, aku yang banyak kata, banyak  rungutan, walhal ia bukan sesukar mana. Mungkin mudah untuk membuat pusingan U bagi yang sudah mahir mengendalikan kereta manual. Namun, bukan mudah untuk aku membuat pusingan itu kerana aku belum mahir selok-belok ilmu memacu kenderaan bermotor.

Persetankan sahaja bisikan kata-kata yang mampu mematahkan ranting-ranting semangat yang mula menyerap garam mineral untuk menjadi dahan. Siapa mereka untuk melemahkan kau? Siapa yang menanam di tapak semaianmu? Bukan dua tangan dan tulang empat kerat mereka atau  dia  yang menzahirkan kudrat, namun, kamu, ya awak, yang membanting apa-apa sahaja untuk meneruskan kehidupan.


Teruskan usaha murnimu untuk membuat pusingan U itu. Tidak salah.

PS: Sebaik-baik manusia bukanlah mereka yang tidak pernah melakukan kesilapan, tetapi mereka yang kuat untuk bangkit dari kegagalan.