Saturday, 27 August 2011

Pedih


Hari itu dia berjalan kaki ayam tanpa sebarang alas dalam renyai-renyai hujan. Dia buntu dan dunggu. Dia umpama sang lembu yang dicucuk hidungnya tapi tanpa tali yang nyata. Dia berjalan tanpa arah tuju di atas bilah pedang yang tajam sehingga terbelah kedua belah tapak kakinya yang halus mulus itu. Dia sakit dan pilu namun tangisnya dipendam jauh-jauh ke dasar hati. 

Biar tiada siapa yang tahu apa rasa yang ditanggungnya. 

Kakinya sudah terbelah menitikkan darah-darah merah dari celah tapak kaki. Sakitnya tiada siapa yang tahu. Hanya dia sendiri yang tanggung. Dia yang berjalan di atas pedang itu, bukan dipakasa. Biar padan mukanya menanggung seksa derita. Walau pedih terasa langkah masih lagi diteruskan walau lemah longlai langkahnya. Dia berharap agar ada yang sudi merawat lukanya walau dia tidak yakin masih ada yang sudi. 



Dia pasrah atas segalanya.

Thursday, 18 August 2011

Dugaan


Pertemuan dua pihak di atas papan catur yang bukan berwarna hitam dan putih menyaksikan kesengitan yang nyata tiada sempadan. Gerak langkah yang singkat tapi tepat harus dikerah agar kau mampu mengalahkannya. Ya, kau harus pintar membaca fikirannya sebelum dia memulakan langkah.


Di sini, tiada perkataan “SERI” atau mengalah.


Hanya wujud siapa menang dan siapa kalah.
Askar mana yang harus berjalan dahulu, itu sukar untuk kau tentukan. Kadang-kadang, kau mengambil masa yang bukan sekejap untuk mencipta strategi bijak. Boleh jadi sahaja pihak lawan mampu membaca fikiranmu dan kau jadi kaku. Ini bukan perlawanan catur biasa. Percaturan hidup yang tersusun bukan mudah. Dia cilik dan kau juga licik.
Tiada manusia yang mampu menyaksikan kehebatan kamu berentap.

Hanya kamu dan dia yang menjadi penonton setia. Perlawanan yang tiada hadnya kadang-kadang membuatkan kau letih, penat dan mengalah. Tapi, mahukah kau dianggap pengecut untuk mengalah? Tidak bukan? Kadang-kadang kau terjelopok dalam dunia fantasimu dek berfikir jauh tentang gerak langkah pihak lawan.

Dia bijak memainkan peranan untuk mengaburi mata kau.
Dia bijak menyelimuti niatnya dengan kain tiada warna.
Dia bijak mencipta muslihatmu menerusi dirinya sendiri.


Waspada. Aku bimbang dia sedang cuba mengalahkanmu, sedang kau sedang leka. Kau tiada alasan untuk kalah kerana dia mempunyai kelebihan setaraf denganmu. Hati-hati menyusun langkah, jangan leka dan hanyut di dalam dunia khayalan, jika tidak



“CHECKMATE”.


Kau kalah dan dia senyum sinis.

Wednesday, 17 August 2011

Ramadhan & Surau Al-Bukhari


Derapan kaki melangkah ke situ bukan selalu. Hati terusik dan sebak melihat begitu ramai yang berpusu-pusu datang ke sini untuk merebut piala ganjaran yang dijanjikan. Wajah terukir senyuman manis. Ukhwah terjalin mesra. Dosa-dosa berguguran jatuh ke bumi tatkala dua pasang tangan bertaut memohon keampunan. Inilah yang sudah lama kurindu dan nanti setelah sekian lama. Di mana lagi kan kucari seramai ini melainkan di bulan yang penuh hamparan nikmat dan rahmat. Namun, masih ada yang leka dan endah tidak endah apa yang dibicarakan di depan sini. Masih ramai di tapak keramaian. Mungkin tidak menyedari kelazatan hadiah yang bakal dianugerahkan. Jangan menunding jari pada dia, awak atau kamu. Satu jari menunding, empat jari lagi kembali pada diri sendiri.